Sunday, 9 June 2024

Sakit dan sihat datang dari Allah. Makanan cuma asbab.

Apa yang kita makan memang beri kesan pada tubuh tetapi semua yang kita makan adalah rezeki. 

Rezeki datangnya dari Allah sama ada halal mahupun haram. 

Rezeki bukan datang dari pendapat manusia.

Selalu mohon doa Allah beri rezeki yang halal dan berkat.

Setiap kali makan doa minta Allah jadikan makanan itu bermanfaat. InshaAllah 

Saturday, 8 June 2024

Flat head Syndrome

Assalamualaikum.

Bismillahirrahmanirrahim.

Alisya menangis je dari tadi nak susu. Mama pun pangku alisya sebelah kanan paha mama. Sambil susukan Alisya, mama teringat waktu Ali lahir dulu.

Mama tak tahu pun wujudnya sindrom kepala rata. Masa tu Ali kerap menyusu sebelah kanan. Mama pun selesa sebab tangan sebelah kiri kekok. 

Selang beberapa minggu, seperti biasa mama suka ambil gambar baby dari semua sudut. Konon nak tengok perbezaan bila usianya makin meningkat. 

Mama pula seorang yang terlampau banyak berfikir, jadi bila banyak fikir ni mama memang perlu gambar-gambar tu supaya bila muncul sesuatu yang aneh pada tubuh anak mama boleh bandingkan gambar sebelum dan selepas.

Mama langsung tak perasan bentuk kepala Ali berubah masa tu. Daddy yang nampak dari gambar. Mama pun belek kepala Ali lepas daddy tegur. Banyak kali mama tengok kiri kanan. Macam tak nak percaya tapi memang ada beza.

Sebelah kanan dah hilang lekuk dan terasa agak rata berbanding sebelah kiri. Mama cuba untuk tak panik. Mama pun mula search pasal sindrom kepala rata ni walaupun dalam hati dah tak tentu rasa. 

Macam-macam mama baca, ada yang buat mama lagi takut sampai termimpi-mimpi sebab membayangkan rawatan serius yang perlu dibuat jika terbukti sindrom tu berlaku pada Ali. Malasnya mama nak fikir semua tu. Mama berhenti baca pasal sindrom tu supaya mama tak panik.

Mama usahakan apa yang termampu masa tu sebab nak urus diri sendiri pun mama terkulat-kulat lagi pulak nak hadap benda baru yang mama tak tahu. Mama usaha untuk ubah posisi kepala Ali. 

Mama cuba untuk kerap baringkan Ali sebelah kiri. Sama ada sambil susukan Ali sebelah kiri ataupun sebelah kanan. Mama ada buat tummy time jugak untuk Ali. Sambil- sambil tu mama carikan bantal yang orang syorkan untuk cegah flathead. 

Mula-mula mama beli yang murah sebab nampak macam berguna rupanya indah rupa dari nyata. Bantal tu biasa je, lembut sangat dan cuma berjahit bentuk bulat je kat tengah dia. 

Mama cari lagi dan mama jumpa bantal jenis latex. Nampak macam lebih okay dari yang itu. Mama pun beli. Mahal sikit tapi berbaloi la untuk sedapkan balik hati mama yang bergelora. 

Hari-hari mama belek kepala Ali dengan harapan lekuk tu muncul semula. Mama selalu ambil gambar dan bandingkan dengan gambar flathead kat google. Walaupun lekuk tu tak naik semula tapi kepala Ali lama-lama rasa okay je. Tak flat pun. Alhamdulillah.

Coretan kenangan oleh mama, 
Nur Hasyimah binti Asem 
8 Jun 2024.
Muar, Johor.

Friday, 7 June 2024

Kisah Kelahiran Anak Kedua

Assalamualaikum wrh wbt

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah esok genap sebulan umur anak kedua mama yang diberi nama Nur Alisya Humaira binti Muhamad Azrul. 

Pengalaman kali ni berbeza dengan yang sulung kerana mama memilih untuk bersalin secara normal selepas czer atau singkatannya VBAC- Vaginal Birth After Ceaser.

Walaupun ada rasa takut tapi mama tetap teruskan juga niat dan usaha untuk bersalin normal. Mama tak dapat bayangkan macam mana rasanya tapi mama tetap kena cuba jika diizinkan Allah.

Sebelum mama tandatangan borang untuk memilih VBAC, doktor dah beri penerangan jelas tentang kemungkinan risiko yang akan mama hadapi.

Apa yang mama faham adalah risikonya lebih tinggi jika mama memilih untuk czer lagi. Jadi, itu lebih menguatkan semangat mama untuk tetap teruskan dengan VBAC.

Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya dan mama selamat melahirkan anak kedua mama pada tarikh 9 Mei 2024 bersamaan 30 Syawal 1445H tepat jam 11.35pm di Hospital Sultanah Fatimah, Muar, Johor.

InshaAllah mama akan cerita kisah selanjutnya dalam posting lain untuk coretan kenangan 😊

Sekian coretan ringkas dari mama anak dua,
Nur Hasyimah binti Asem
8 Jun 2024
Muar, Johor.